Di sini jua memori tercipta
Walau seketika terjalin kasih kita
Mungkin di sini kitakan terpisah
Kenangan bersama tiada kulupa
Yang terpahit jua termanis
Semuanya bagiku terindah
Kuingati buat selama-lamanya
Memori Tercipta. Lagu ini sering saya dengar kerana lagu ni awak yang bagi pada saya. Setiap kali saya dengar lagu ni, pasti teringat pada awak. Saya ingat lagi waktu kali pertama saya kenal dengan awak. Pertama kali saya dengar suara awak, saya terus tertarik. Bagi saya, awak ni mesti seorang yang ramah dan mesra untuk dijadikan kawan. Tanpa buang masa, saya pun beritahu pada kawan saya yang saya nak sangat berkawan dengan awak dengan lebih rapat lagi. Dalam hati saya kata, mintak-mintaklah awak ni belum berpunya. Cewah!! Sempat lagi tu. Hehehe…
Selang beberapa hari, kawan saya bagi nombor telefon rumah awak pada saya. Awak tahu tak betapa gembiranya saya waktu tu. Maknanya, saya bolehlah telefon awak dan borak-borak dengan awak. Malam tu juga saya telefon awak. Ternyata awak ni memang suka bercerita. Ada sahaja cerita yang awak kongsi dengan saya. Saya pun suka dengar cerita awak walaupun kadang-kadang saya tak berpeluang untuk bercerita. Tapi saya tak kisah. Yang penting, saya dapat dengar suara awak. Itu yang membuatkan saya gembira sangat.
Dalam tak sedar, hubungan kita semakin rapat walaupun hanya melalui telefon sahaja. Awak pun banyak tahu tentang diri saya termasuk masalah saya. Saya tak segan cerita masalah saya pada awak dan awak pun tak putus-putus bagi semangat pada saya. Masa tu, bagi saya awaklah pembimbing saya di kala kegelapan. Betapa istimewanya awak di hati saya tapi awak tak pernah tahu. Sampailah satu malam tu, awak telefon saya. Awak luahkan isi hati awak pada saya. Awak cakap yang awak sayangkan saya. Saya terkejut sangat tapi dalam hati saya gembira bukan main lagi. Yelah. Ini bermakna saya tak bertepuk sebelah tangan. Tapi, masa tu saya masih mentah. Tak tahu bab-bab cinta ni. Masa tu saya baru berumur 16 tahun manakala awak pula baru berumur 18 tahun. Tapi awak faham saya. Awak cakap, kita kena sama-sama tumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran dulu. Awak jenis yang pandang cinta pertama dan awak tak bagi saya layan lelaki lain. Saya dengar cakap awak. Awak dah bagi saya harapan dan saya berharap sangat pada awak. Kalau awak nak tahu, awaklah lelaki pertama yang berjaya buka pintu hati saya untuk lelaki. Tahniah saya ucapkan pada awak sebab berjaya tawan hati saya.
Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Tiba-tiba saya sedar akan sesuatu. Awak berubah. Awak senyap macam tu saja. Satu khabar berita daripada awak pun saya tak terima. Ke mana awak menghilangkan diri? Awak tahu tak betapa rindunya saya pada awak? Saya rindukan suara awak dan saya rindukan mesej-mesej awak. Saya cuba hubungi awak tapi gagal. Memang sahlah awak menjauhkan diri dari saya. Tapi kenapa? Apa salah saya pada awak? Setiap malam saya tunggu panggilan daripada awak sebab awak memang suka telefon saya pada waktu malam tapi ternyata hampa. Awak tak telefon saya pun. Entah apalah khabar awak. Awak sihat ke? Sakit ke? Dalam diam saya risaukan awak. Awak risaukan saya tak? Awak ingat pada saya tak?
Setahun berlalu. Saya jalani kehidupan saya seperti biasa tanpa berita daripada awak. Waktu tu, saya redhakan apa yang telah berlaku. Saya pun berjaya melanjutkan pelajaran saya di sebuah universiti tempatan dalam jurusan yang saya minati. Dalam tempoh itulah saya cuba lupakan awak sehinggalah saya berkenalan dengan seorang lelaki bernama Irfan. Dia tua setahun saja dari saya. Dia baik, ambil berat dan ada ciri-ciri lelaki yang saya suka. Tapi kami sering bergaduh. Ada sahaja yang tak kena. Tapi saya tak kisah. Bagi saya, itulah asam garam percintaan. Tapi awak tahu tak, walaupun saya dah bersama dengan Irfan, awak tetap dalam ingatan saya. Saya tak dapat lupakan awak. Pernah sekali kami bergaduh kerana awak. Semua ni gara-gara Irfan ternampak mesej-mesej lama awak dalam inbox saya. Tapi mujurlah saya dapat terangkan pada Irfan dengan baik dan dia terima cerita saya dengan hati yang terbuka.
Pada suatu hari, saya terima satu panggilan daripada nombor yang saya tak kenal. Saya cuba jawab dan Ya Allah!! Saya macam tak percaya saja. Betulkah awak yang telefon saya? Waktu tu saya terdiam sebab saya teruja sangat dengan suara yang sangat saya rindui. Awak tanya khabar saya dan begitu juga dengan saya. Tuhan saja yang tahu betapa gembiranya saya waktu tu. Tapi awak tak cerita pun kenapa awak menghilangkan diri dari saya. Saya pun tak tanya sebab yang penting bagi saya ialah awak dah hubungi saya semula. Saya tahu awak sihat tapi macam ada sesuatu yang tak kena saja. Awak pun asyik tanya soal hati dan setiap kali awak tanya soalan macam tu, saya pasti akan mengelak sebab saya tak sampai hati nak beritahu awak yang saya sudah berpunya kerana hakikatnya, hati saya masih ada awak. Apa yang harus saya buat ni awak? Kita pun terus berhubung tanpa awak ketahui hakikat sebenar. Irfan pun tak syak apa-apa. Ya Allah!! Berdosanya saya kerana menduakan Irfan. Tapi saya tak kisah sangat sebab hati saya masih kuat pada awak. Jahatnya saya!
Kini, saya berada di semester yang kedua. Pada suatu hari, saya dan Irfan bergaduh dan dia memutuskan hubungan kami. Saya berasa sedih yang teramat sangat. Saya pun tak tahu kenapa. Akhirnya saya ceritakan pada awak hakikat yang sebenar. Tapi awak tak kisah dan awak cuba tenangkan saya dengan kata-kata semangat. Setiap malam awak akan buat super saver dan telefon saya untuk dengar khabar dan bercerita. Awak memang tak berubah. Sama saja macam dulu-dulu. Suka bercerita. Itulah yang membuatkan saya makin sayang pada awak.
Pada suatu hari, awak ajak saya couple. Terkejut bukan main saya waktu tu. Pada mulanya saya cuba menolak dengan alasan saya masih belum bersedia padahal dalam hati, “Biar betul dia ajak aku couple? Mak oi!! Sukanya aku!!!” Awak tak paksa saya dan setia menanti jawapan saya. Akhirnya, saya cair dengan kesetiaan dan kesungguhan awak tu. Saya terima awak dan bermulalah episod baru dalam kehidupan kita sebagai pasangan couple. Mula-mula segalanya berjalan dengan lancar. Kita sering berbual dalam telefon. Itu kan kerja wajib kita. Hehehe… Yang kelakarnya, kita tak pernah pun jumpa. Cuma berhubung melalui telefon dan Friendster sahaja. Friendster tu pun awak yang suruh saya buat. Kalau tak, tak adanya saya nak buat benda tu. Awak ni sweet juga orangnya. Hitam manis. Tapi tak kisahlah. Hitam pun menawan juga. Hehehehe…
Pada suatu malam, kita berbual dalam telefon macam biasa. Tapi kali ni awak ada cerita sesuatu yang saya tak suka dengar. Awak cerita yang awak ada buat super saver dengan perempuan lain. Kenapa awak buat saya macam ni? Awak masih tak faham saya rupanya. Saya perempuan biasa yang ada sifat cemburu. Saya tak boleh terima sebab perempuan tu saya kenal. Jadi, sebagai jalan penyelesaian, saya minta putus. Saya putuskan hubungan kita. Pada mulanya awak tak dapat terima tapi akhirnya awak akur dengan keputusan saya. Pedihnya hati saya waktu tu. Saya setia pada.0 awak. Saya tak layan pun lelaki lain lebih-lebih. Tapi awak? Sejak dari itu, saya sibukkan diri dengan kawan-kawan dan assignment. Namun, awak tetap kacau saya dengan mesej-mesej dan penggilan telefon yang tak pernah saya jawab. Kalau saya jawab pun, hanya menyakitkan hati saya saja. Akhirnya awak putus asa. Awak kembali menjauhkan diri dari saya. Awak senyap macam tu saja. Saya pun tak nak ambil tahu pasal awak lagi. Saya pun ada ego. Bukan awak seorang saja yang ada ego. Bagi saya waktu tu, tak kenal dengan awak pun tak apa. Saya tak rugi apa-apa. Entah-entah awak pun dah lupakan saya. Tapi dalam diam, saya doakan kesejahteraan awak dari jauh. Semoga awak sihat dan berjaya dalam bidang yang awak ceburi.
Pejam celik-pejam celik, dah masuk semester keempat saya menuntut ilmu di universiti pantai timur ni. Seronok juga menimba ilmu di tempat orang. Selain dapat belajar berdikari, saya juga dapat mengenali budaya orang di sini. Kini, cuti semester sudah bermula dan seperti biasa, saya bekerja part time di sebuah pasar raya yang tidak jauh dari rumah. Ramai juga yang tanya kenapa perlu penat-penat bekerja part time. Jawapan saya mudah. Nak cari duit poket. Itu sahaja. Duduk di rumah pun bosan. Saya bekerja sebagai juruwang di pasar raya tersebut dan alhamdulillah, saya gembira dan puas hati dengan apa yang saya lakukan sekarang. Semoga kebahagiaan sentiasa menemani saya ke mana sahaja saya pergi.
Pada suatu malam, entah kenapa terlintas di hati saya untuk menyemak senarai contact di dalam handphone saya. Tiba-tiba saya terpaku pada satu nama. “ Adam”. Macam manalah saya tak sedar yang saya masih menyimpan nombor awak? Tapi, awak masih pakaikah nombor tu? Tanpa berfikir panjang, saya pun cuba dail nombor tersebut dan ternyata berjaya. Awak masih pakai nombor tu. Selang beberapa minit, saya dapat satu mesej daripada nombor awak. Ternyata mesej tu buat saya sedih. Mesej tersebut berbunyi. “Siapa ni?” Sahlah awak memang dah lupakan saya. Awak buang nombor saya? Saya biarkan saja mesej tersebut. Biar menjadi tanda tanya pada awak. Dalam hati saya, geramnya tak terkata!!
Pada suatu malam, ketika saya menunggu komuter untuk pulang ke rumah setelah habis bekerja, saya terima panggilan daripada awak. Terkejut saya waktu tu. Mimpi apa pula awak telefon saya? Dengan bakat terpendam yang ada pada saya, saya jawab panggilan awak dengan cuba menyamarkan suara saya. Ternyata gagal. Awak berjaya cam suara saya. Awak cakap, suara saya tak pernah berubah. Sama macam dulu. Menyamar lah macam mana pun, awak tetap kenal suara saya. Setelah terkantoi, akhirnya saya mengaku juga.
Ternyata suara awak tetap sama macam dulu. Romantik!! Suara itulah yang saya rindukan selama ni. Tetapi disebabkan ego, kita senyap macam tu saja. Malam tu, awak telefon saya lagi. Kita borak macam biasa seperti tiada apa-apa yang berlaku. Sampailah satu tahap tu, awak buat statement yang mengejutkan saya. Awak ajak jumpa!! Biar betul? Seganlah saya. Kita tak pernah pun berjumpa sebelum ni. Mula-mula saya tak nak jumpa dengan awak. Tapi kali ni awak paksa dan berharap sangat untuk berjumpa. Akhirnya saya setuju dan awak pun setuju untuk jemput saya pulang dari kerja pada esok hari. Malam tu, saya memang tak lena tidur. Mengenangkan pertemuan pertama yang bakal kita lalui esok. Dalam kepala ni asyik terfikir, “Macam manalah rupa dia agaknya ya?”
Keesokan harinya, waktu yang ditunggu pun tiba. Saya menanti awak dengan penuh debar. Tiba-tiba saya ternampak kereta kancil putih berhenti di depan saya. Saya cuba amati muka lelaki yang berada di dalam kereta tersebut. Berbekalkan ingatan saya pada gambar yang saya lihat di Friendster awak, tahulah saya bahawa lelaki tersebut adalah awak. Ya Allah!! Malunya saya waktu tu. Yelah. Baru pertama kali berjumpa. Waktu tu saya rasa macam hanya ada awak dan saya saja. Bahagianya diri ini. Terima kasih Ya Allah kerana beri peluang pada kami untuk berjumpa buat pertama kalinya.
Malam tu awak bawa saya makan di sebuah kedai makan yang tak pernah saya pergi. Kita order makanan dan minuman yang sama iaitu nasi goreng pataya dengan air teh o ais limau. Itulah air kegemaran awak. Setelah selesai makan, awak pun mula bercerita. Cerita awak kali ni betul-betul menarik minat saya. Rupa-rupanya awak sengaja menjauhkan diri dari saya masa mula-mula dulu sebab awak jumpa perempuan lain. Awak couple dengan perempuan tu. Hubungan awak dengan dia bertahan selama setahun saja. Ya Allah, kebenaran apakah semua ini? Dan awak ada berit ahu saya yang awak menyesal tinggalkan saya dulu. Saya hanya dengar cerita awak dengan baik. Saya tak tahu nak kata apa sebab dalam hati saya ada sedikit perasaan kecewa. Awak minta maaf pada saya dan cuba nak mulakan yang baru dengan saya. Awak janji awak takkan buat macam tu lagi. Ex-girlfriend awak pun dah jauh belajar di luar negara. Saya buntu waktu tu. Patutkah saya terima awak setelah apa yang awak buat pada saya? Tapi bila difikirkan balik, saya pun ada tipu awak. Saya tak berit ahu awak pun masa saya couple dengan Irfan dulu. Tapi saya minta masa pada awak untuk fikirkannya dulu dan awak setuju.
Selepas waktu tu, kita sering keluar bersama. Pantang waktu cuti, kita mesti keluar jalan-jalan. Kita memang ada banyak persamaan. Suka jalan-jalan, tengok wayang dan macam-macam lagi. Yang paling sweet bagi saya ialah kita selalu order makanan dan minuman yang sama bila waktu makan. Sampaikan tuan punya kedai tu pun sengih-sengih tengok kita. Bestnya saat-saat tu. Akhirnya saya akur, awak mungkin ditakdirkan untuk saya. Saya setuju untuk couple semula dengan awak dan saya berjanji untuk jaga hubungan ini sebaik mungkin. Saya tak nak jadi macam dulu-dulu. Saya tengok awak happy sangat bila saya terima awak semula. Awak pun janji untuk jaga hubungan ni baik-baik. Awak rajin bawa saya ke Port Dickson. Awak kata awak suka tengok laut. Saya pun suka tengok laut. Awak suka jalan-jalan tepi pantai. Saya pun suka jalan-jalan tepi pantai. Saya ingat lagi, kita dikejar oleh beberapa ekor anjing masa kita jalan-jalan di tepi pantai. Kita lari sekuat hati. Awak cuba lindungi saya. Saya pula masuk dalam air. Bila teringat balik, saya pasti akan gelak. Macam orang gila saja. Hehehe…
Hubungan kita berjalan dengan baik dan lancar sehinggalah saya masuk ke semester ke lima. Kita berhubung melalui telefon sahaja. Ada juga saya tengok awak melalui Facebook. Kita memang bahagialah waktu tu. Tiap-tiap hari saya berdoa semoga Allah dekatkan hati kita. Semoga kita akan bersama juga akhirnya.
Kusangkakan panas hingga ke petang. Rupanya hujan di tengah hari. Masuk bulan ketiga kita couple, awak dah mula berubah. Awak jarang mesej saya. Mesej yang saya hantar pun jarang sekali awak balas. Saya terfikir-fikir. Sibuk sangatkah awak? Saya pun sibuk juga. Tambahan pula saya masih belajar dan ada banyak komitmen tapi saya tak pernah lupakan awak walaupun hanya untuk bertanya khabar. Tapi awak seolah-olah dah lupakan saya. Saya pun mula lah fikir macam-macam. Saya ingat lagi. Kadang-kadang bila kita borak-borak melalui telefon, awak selalu juga cerita pasal ex-girlfriend awak tu. Saya diam saja. Saya dengar saja cerita awak. Saya tak halang pun awak bercerita pasal dia. Sebab saya tahu, awak sebenarnya gembira bila bercerita pasal dia. Tapi saya tak kata apa. Dalam hati saya ni, Tuhan saja yang tahu. Saya bukan nak ungkit tapi saya tak pernah cerita pasal ex-boyfriend saya pada awak. Sebab bagi saya, sekarang saya dengan awak. Jadi, buat apa saya nak cerita pasal ex-boyfriend saya pada awak walaupun antara awak dan ex-boyfriend saya banyak perbezaan. Boleh saja kalau saya nak cerita tapi saya takut awak rasa tercabar. Lebih baik saya diam saja tapi awak tak faham saya. Awak terus cerita pasal ex-girlfriend awak sedangkan saya derita dengar cerita awak tu. Awak ada janji tak nak cerita dah pasal ex-girlfriend awak tapi awak buat jugak. Macam mana saya nak halang awak lagi kalau awak sendiri tak nak halang diri awak? Saya ni bukan jenis memaksa. Cukuplah kalau awak faham keadaan saya. Adam, adakah awak sudah mula kembali pada ex-girlfriend awak?
Tak lama lagi birthday saya. Ha!! Salah satu keistimewaan kita ialah kita lahir pada bulan yang sama. Tak jauh beza pun. Selang beberapa hari saja. Yang pasti, birthday awak dulu baru saya. Kita pernah janji untuk celebrate birthday kita sama-sama bila saya balik cuti nanti. Saya memang ternanti-nanti saat tu. Macam manalah agaknya ya bila kita celebrate sama-sama. Mesti best dan kelakar. Hehehe.. Saya ingat lagi. Masa malam birthday awak, saya telefon awak. Nasib baik awak tak bergayut dengan sesiapa waktu tu. Saya nyanyi lagu birthday untuk awak dan awak seronok sangat. Saya tahu daripada suara awak. Ceria saja. Lepas tu kita borak lama-lama. Saya tak kisah pun kredit saya habis sebab saya ade topup spare. Saya memang nak habiskan masa dengan awak malam tu. Hehehe… Bagus tak saya? Saya pun ada wish kat Friendster dan Facebook awak tapi satupun awak tak balas. Saya buat tak tahu saja. Mungkin bukan jenis awak yang suka wish-wish di tempat macam tu. Tapi saya cuma buat yang terbaik untuk awak dengan cara saya sendiri. Maaf kalau awak tak suka.
Esok birthday saya. Saya tak sabar-sabar nak tunggu awak telefon saya malam ni. Awak tahu tak kenapa? Sebab ni kan kali pertama kita sambut birthday sebagai pasangan kekasih. Mesti best bila awak wish kat saya kan? Dengan suara awak yang romantik, pasti ia akan jadi malam bersejarah buat saya. Detik 12 malam. Lagi 1 minit, genaplah usia 21 tahun saya. Saya tunggu panggilan daripada awak. Tiba-tiba saya mendapat satu panggilan tapi bukan awak. Ia dari sahabat saya. Dialah insan pertama yang wish birthday pada saya. Saya terharu sangat dan kami berbual agak lama juga. Kemudian, saya tunggu panggilan daripada awak lagi. Telefon berdering lagi. Harap-harap itu awak tapi ternyata salah. Classmate saya yang telefon rupa-rupanya. Namanya Amey. Dia wish dan nyanyikan lagu untuk saya. Wah.. Terharu sungguh saya waktu tu. Tapi di mana awak? Kenapa orang lain yang beria-ia wish dan nyanyikan lagu birthday untuk saya? Di mana awak sebagai buah hati saya? Kemudian, saya dapat banyak mesej daripada kawan-kawan saya. Termasuklah seorang rakan YM saya yang tak pernah saya jumpa. Suhaimi namanya. Dia beria-ia hantar gambar birthday pada saya. Saya simpan lagi gambar tu. Banyak lagi mesej yang saya dapat. Semuanya wish pada saya. Tapi kenapa tak ada satu pun mesej daripada awak? Saya sengaja tak telefon awak sebab saya nak tengok, awak telefon saya atau tak malam ni. Saya tunggu sampai pukul 3 pagi tapi awak tak ada pun telefon saya. Awak lupa ke birthday saya? Malam tu saya tidur bertemankan air mata terkilan. Terkilan sebab malam tu berlalu macam tu saja. Habis malam bersejarah saya bagi usia yang dah genap 21 tahun ini.
Esoknya, saya ada seminar MUET di dewan. Kawan-kawan saya semua wish kat saya. Dalam hati masih tertanya-tanya di mana awak? Tiba-tiba saya dapat satu mesej. Betapa gembiranya hati saya bila lihat nama awak tertera dalam inbox tu. Saya buka mesej tu. Ada lirik lagu “HAPPY FAMILY” yang saya pernah nyanyikan untuk awak masa kita jumpa dulu. Di akhir lirik tu, barulah awak wish birthday saya. Saya gembira sangat-sangat walaupun dalam hati saya agak kecewa dengan sikap awak malam tu. Tapi saya tak kisah. Yang penting awak wish. Itu menunjukkan yang awak tak lupa birthday saya. Terima kasih, awak. Terima kasih banyak-banyak.
Masa terus berlalu dan awak semakin berubah. Awak dah jarang telefon saya. Mesej saya pun tak berbalas. Awak buat apa? Sibuk sangatkah sampai mengalahkan Perdana Menteri? Pada suatu ketika saya sedang belajar, saya hantar mesej pada awak dan awak balas. Awak kata awak berada di luar bersama kawan-kawan. Baiklah. Saya faham dan saya tak nak ganggu awak. Saya terus belajar sedangkan kepala saya asyik teringatkan awak. Hampir pukul 12 malam, awak tak mesej saya sedangkan sebelum tu awak kata nak mesej saya. Lamanya awak lepak dengan kawan-kawan awak. Biasalah. Orang bujang. Saya pun hantar mesej pada awak. Lama baru awak balas. Awak kata masih di luar dengan kawan-kawan. Awak mesej saya pun macam nak tak nak saja. Tak apalah. Biarlah awak dengan kawan-kawan awak.
Saya terus jalani kehidupan saya macam biasa. Di samping kawan-kawan yang sentiasa di sisi saya walau apa pun yang berlaku. Melihatkan keadaan saya yang asyik murung sehingga pelajaran saya terabai, kawan-kawan meminta saya supaya memutuskan hubungan dengan awak. Oh tidak!! Itulah perkara yang saya tak inginkan. Saya tak nak awak terlepas daripada saya buat kali kedua. Saya sayang dan cintakan awak sangat!! Mana boleh saya lepaskan awak begitu sahaja.
Namun, lama-kelamaan saya perasan sesuatu. Pelajaran saya semakin merosot kerana saya asyik fikirkan awak sahaja termasuk hubungan kita. Kawan-kawan begitu risaukan saya. Atas nasihat kawan-kawan, saya pun buat keputusan yang saya sendiri tidak pasti sama ada betul atau salah. Saya minta putus dengan awak. Malam tu juga saya telefon awak. Awak lebih banyak berdiam daripada pertahankan hubungan kita. Apa sebenarnya berlaku, awak? Awak tak nak cerita pada saya pun. Awak buat saya tertanya-tanya tanpa jawapan. Awak cuma berkata, “ Nak buat macam mana? Benda dah jadi. Kita memang tak serasi.” Begitu mudah sekali jawapan yang awak berikan. Tak setimpal dengan perasaan saya yang menggunung sedih dan kecewanya. Kenapa baru sekarang awak timbulkan soal serasi? Kenapa tidak dari dulu? Awak tahu tak betapa luluhnya hati saya waktu tu tapi saya pendam saja. Saya pura-pura jadi tabah dan kuat sedangkan dalam hati? Hmmmm… Awak kata awak takkan patah balik dengan keputusan yang dah dibuat. Saya terpana seketika dengar kata-kata awak tapi saya akur kerana perpisahan ini saya yang minta. Ini bermakna kita tak berpeluang lagi untuk betulkan kesilapan yang berlaku. Ini juga bermakna hubungan kita akan putus sampai bila-bila. Saya dengan diri saya, awak dengan diri awak sendiri. Tapi saya tak boleh lupakan awak!! Awak, tolonglah saya!!
Setelah berpisah, satu-satu yang berkaitan dengan diri awak saya tahu. Saya tahu siapa skandal awak selama ni. Orang yang saya kenal. Sakit hati saya bila tahu semua tu. MungkinTuhan nak tunjukkan pada saya yang awak sebenarnya tak serius dengan saya. Entahla awak. Saya benar-benar buntu bila fikirkan semua ini. Saya tak dapat tumpukan perhatian pada pelajaran saya sehinggalah hari peperiksaan. Saya usaha setakat yang mampu dan selebihnya saya tawakal. Tapi apa yang pasti, pelajaran saya makin merosot. Tapi saya tak salahkan awak. Saya salahkan diri saya sendiri. Salahkan diri saya yang tidak tahu kawal emosi.
Detik terus berlalu. Begitu jugalah dengan hubungan kita yang berlalu tanpa khabar berita. Entah macam manalah keadaan awak sekarang. Saya nak sangat jumpa awak. Saya nak tengok dan jalan-jalan tepi pantai dengan awak. Saya nak celebrate birthday kita sama-sama. Tapi saya tahu, semua tu mustahil untuk berlaku sebab awak memang takkan patah balik pada saya. Untuk lupakan awak, saya block awak di Facebook. Saya remove awak dari senarai kawan saya dalam Friendster. Saya tak nak tengok awak lagi. Nombor awak pun saya dah buang tapi awak tahu sesuatu tak? Saya tak lupa nombor awak. Dan saya memang tak boleh lupakan awak. Awak macam mana? Masih ingatkah awak pada saya?
Sampai sekarang saya masih berharap pada awak. Saya sentiasa berdoa supaya Allah beri petunjuk pada hubungan kita. Semoga Allah dekatkan lagi hati kita. Kalau betul awak jodoh saya, awak pasti akan cari saya semula suatu hari nanti. Saya pegang dengan kata-kata tu. Masa terus berlalu. Pada bulan puasa, saya selalu dengar lagu raya yang bertajuk “Suasanan Hari Raya” nyanyian Anuar Zain dan Elina. Awak tahu kenapa saya suka dengar lagu tu? Sebab, saya ingat lagi kata-kata awak. Kalau lagu tu keluar masa raya nanti, itu bermakna hubungan kita sebagai kekasih dah genap setahun. Tapi, itu dulu. Sekarang kita dah tak ada apa-apa. Tapi tak kisahlah. Saya suka juga dengar lagu tu. Saya memang tak boleh lupakan awak dan kenangan kita bersama. Setiap kali saya terjumpa anjing, saya pasti akan teringat peristiwa kita dikejar anjing. Dan setiap kali saya teringat, saya pasti akan tertawa. Itu memang dah lazim.
Hari raya menjelang jua. Saya berharap supaya awak datang ke rumah saya tapi hampa. Saya tunggu juga tapi awak memang tak datang. Hmmmm… Kenapalah saya masih tunggu awak sedangkan saya tahu jawapannya. Saya pujuk hati saya sendiri. Pada suatu hari, saya bersama sahabat saya beraya di rumah abang awak. Abang awak tahu pasal kita tapi mujurlah dia tak tanya apa-apa tentang kita. Kemudian, kami singgah di sebuah masjid. Selesai solat, kami keluar dari masjid seperti biasa tapi sesuatu yang memeranjatkan telah berlaku. Saya nampak kereta awak di masjid tu. Patutlah hati saya berdebar-debar saja. Tapi saya tak nampak pun awak. Mungkin awak sedang solat waktu tu. Adakah semua ini kebetulan atau awak sememangnya tahu saya berada di sekitar itu?
Pada suatu hari, saya unblock awak di Facebook sebab saya nak sangat tengok awak. Saya rindu sangat pada awak. Awak pun tahu, saya tak ada sekeping pun gambar kita bersama. Semuanya ada pada awak. Tak tahulah awak masih simpan atau tak. Kemudian, saya ternampak sesuatu. Ternampak sesuatu yang membuatkan hati saya benar-benar luluh. Yang pasti, awak seperti masih mengharap pada ex-girlfriend awak yang belajar di luar negara tu. Hakikat apakah ini? Air mata saya hampir menitis tapi saya tahan saja sebab saya tak nak orang lain tahu yang saya sedang bersedih. Saya beristighfar banyak kali. Betulkah apa yang saya nampak? Akhirnya saya akur. Hati awak memang tak ada pada saya sejak dari mula lagi. Tergamak awak buat saya macam ni. Awak ingat saya ni apa? Kenapalah saya bodoh sangat terima awak dulu? Kenapalah saya bodoh sangat beri peluang pada hubungan kita? Mungkin sebab saya sayang dan cintakan awak sangat. Awak cinta pertama saya. Tapi saya nekad. Saya takkan mengharap pada awak lagi. Biarlah awak cari kebahagiaan awak sendiri. Awak bahagia, saya pun turut bahagia. Saya doakan kesejahteraan awak. Walau dengan siapa pun awak selepas ini, saya redhakan sahaja segalanya. Saya tak salahkan awak dalam perkara ni. Saya tahu, setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi dan saya anggap ini semua sebagai satu dugaan buat saya. Terima kasih juga pada awak sebab kalau bukan kerana semua ni, saya masih tidak tahu hakikat sebenar diri ini. Semoga awak terus berjaya dalam bidang yang diceburi. Dan saya? Saya tetap di sini, menanti sebuah pelangi. Moga-moga masih ada pelangi yang setia menanti untuk mewarnai hidup saya hari-hari di kemudian hari. Amin…
* cerpen yang ketiga... lebih kepada luahan... ermmmm... hope tak boring... huhuhuu...
No comments:
Post a Comment